Kejohanan Golf Amal Piala Presiden ANGKASA 2025 telah dianjurkan oleh ANGKASA Negeri Sembilan sejak tahun 2022. Pada tahun 2025, penganjuran ini dilaksanakan bersama-sama antara ANGKASA Negeri Sembilan dengan Yayasan ANGKASA yang berlangsung di Kota Seriemas Golf & Country Club, Nilai telah menjadi platform penting menghimpunkan koperasi, rakan korporat serta komuniti dalam suasana penuh semangat kesukanan. Penganjuran ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pelbagai pihak, malah membuka ruang kerjasama baharu dalam memperkasa gerakan koperasi.
Sukan golf bukan sahaja berupaya menjadi wahana memperkukuh hubungan antara koperasi dengan masyarakat malah menjadi salah satu platform strategik menjana dana Pendidikan Yayasan ANGKASA. Dana Pendidikan Yayasan ANGKASA ini memberi manfaat kepada anggota koperasi dan ahli masyarakat yang memerlukan. Di samping itu para penyumbang turut memperoleh pelepasan cukai pendapatan atas sumbangan yang diberikan. Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen penganjur dalam memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan melalui aktiviti berteraskan sukan dan kebajikan.
Secara keseluruhannya, penganjuran ini melambangkan usaha bersama dalam memperkukuh jenama koperasi sebagai gerakan yang prihatin, berdaya saing dan komited terhadap pembangunan sosioekonomi masyarakat.







