Yayasan ANGKASA terus komited memperkasa pendidikan anak-anak anggota koperasi di Sabah menerusi pelancaran Tabung Pendidikan Yayasan ANGKASA untuk Anak-Anak Koperasi Negeri Sabah yang berlangsung dalam satu majlis Hi-Tea bersama para penyumbang di Hotel The Klagan, Kota Kinabalu, hari ini (23 Oktober 2025).
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick, yang menyatakan sokongan penuh serta merakamkan tahniah atas inisiatif berkenaan. Beliau menyifatkan penubuhan tabung tersebut sebagai satu pelaburan jangka panjang yang strategik untuk masa depan negara.
โSumbangan kepada tabung ini bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata. Ia adalah pelaburan dalam membina generasi baharu yang berilmu, beretika dan berdaya saing โ generasi koperasi yang mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negeri dan negara,โ katanya.
Terdahulu, Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Yayasan ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, berkata tabung ini bukan sahaja memanfaatkan anak-anak anggota yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, malah turut memberi peluang kepada warga koperasi untuk mengikuti pengajian jarak jauh dalam bidang berkaitan koperasi.
Beliau turut memaklumkan bahawa sejak ditubuhkan pada tahun 2000, Yayasan ANGKASA telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kewangan, biasiswa dan pembiayaan kepada pelajar anak koperasi di seluruh negara. Sehingga tahun 2024, sebanyak 1,898 pelajar telah menerima tajaan dengan jumlah pembiayaan mencecah RM34.95 juta.






